Navigation


RSS : Articles / Comments


ASAT Yang Terbilang di ABS!

Rabu, April 29, 2009, Posted by mr. admin, One Comment

Setelah melalui perancangan yang memakan masa berhari-hari, ABS telah berjaya menganjurkan program Anugerah Seri Asrama Terbilang (ASAT) peringkat Daerah Temerloh. Alhamdulillah, semua berjalan lancar.

Saya nak ambil kesempatan untuk mengucapkan ribuan terima kasih kepada pelajar-pelajar yang telah membantu menjayakan majlis ni. Terima kasih daun keladi, lain kali memang nak mintak tolong lagi :-). Kalau takde pelajar-pelajar yang membantu, teruk jugak cikgu-cikgu ABS.

Saya berkesempatan merakam sekeping dua gambar untuk tatapan semua. Kat bawah artikel ni saya ada buatkan rakaman video sepanjang perjalanan aktiviti ASAT tadi. Ok, selamat menonton! Adiossssss! :-)

Tu diaaa...Cikgu Norsiah sedang memantau pembantunya membuat jualan sempena ASAT. Orang kata, faktor yang membuatkan muffin Cikgu Norsiah sold out, bukan disebabkan kesedapannya saja. Tapi disebabkan ada sorang mamat baju merah yang tolong jual. Ada yang kata dia ada bakat macam mamak Old Town, hehehe..

Meriah walaupun panas..

Video khas buat tontonan semua. Tadaaaa....! :-)


Cikgu, camne nak komen? Saya tak tau...

Sabtu, April 25, 2009, Posted by mr. admin, 3 Comments

Bagi yang telah lama berkecimpung dalam dunia blog, memang tak ada masalah untuk meninggalkan komen dalam mana-mana blog. Bagi yang baru, mungkin akan menghadapi sedikit kesukaran. Jangan bimbang, di sini saya ada sediakan panduan bagaimana nak meninggalkan komen.

Langkah 1

Katakanlan anda berminat nak tinggalkan komen dalam satu entry (artikel) yang baru seperti di bawah ni. Mula-mula, klik ke bahagian yang ditunjukkan.

Langkah 2

Anda akan dibawa ke paparan seperti di bawah.Taipkan komen anda dalam kotak yang telah disediakan.

Langkah 3

Setelah siap, scroll mouse ke bawah. Anda akan menemui paparan seperti di bawah. Klik kiri di bahagian 'Nama/URL'

Langkah 4

Kemudian, masukkan nama anda dalam ruang yang telah disediakan. Ruang URL tu biarkan kosong sahaja. Setelah selesai, klik pada butang 'TERBITKAN ULASAN ANDA' untuk menghantar komen. Tadaaaaaa! Tahniah, anda telah berjaya menghantar komen dalam blog ini.


Peringatan : Sebarang komen yang berbentuk fitnah, cacian, ugutan, hasutan dan sebagainya tidak akan dilayan. Ingat, Allah melihat apa yang kamu lakukan. Jadilah pelajar yang berakhlak :-)

ADA APA DENGAN BLOG?!

Sabtu, April 25, 2009, Posted by mr. admin, 5 Comments


"Kenapa cikgu buat blog ni? Nak jadi glamour ke?" tanya salah seorang pelajar tingkatan 2 kepada saya.

"Ke cikgu nak jadi part-time blogger?" celah seorang lagi sambil disambut gelak tawa yang lain.


Saya hanya berdiam diri, membiarkan pertanyaan itu tanpa jawapannya...
Sejak mula menjejakkan kaki di sini, saya dapati jumlah pelajar di sini cukup ramai. Tingkatan satu jer dah hampir 10 buah kelas. Tu tak masuk tingkatan yang lain. Menurut pengetua kita, ABS memang jadi tumpuan ibu bapa kat kawasan ni untuk menghantar anak bersekolah. Seiring dengan nama dan reputasinya yang gah lagi masyhur, makanya ABS terus diberi kepercayaan yang tinggi oleh ibu bapa untuk menghantar anak-anak bersekolah. Tak hairanlah kalau jumlah pelajar-pelajar di sini agak ramai bilangannya.

Di sini, saya pula ditugaskan untuk mengajar pelajar-pelajar tingkatan 1-3 sahaja dalam subjek KH. Jadi, peluang untuk saya mengenali pelajar-pelajar yang berada di tingkatan lain agak terbatas. Selain bertujuan nak berkongsi pendapat dan isu tentang sekolah kita, saya rasa di sini juga boleh dijadikan tempat untuk kita saling mengenali menerusi alam maya. Rasanya, masih ramai yang saya belum kenali walaupun dah hampir 6 bulan bertugas di sini.

Dunia dah berubah!

Ehm, bagus gak kata-kata ni. Boleh saya pinjam. Saya rasa sudah sampai masanya lebih ramai pelajar-pelajar di sini didedahkan dengan blog. Bagi yang dah biasa tu, bolehlah tunjuk ajar kawan-kawan yang masih baru dalam dunia blog ni.

Ya, saya tahu terdapat banyak perkara-perkara negatif yang boleh tersebar melalui dunia blog. Tapi, kita tak boleh menjadikan ia sebagai satu alasan untuk kita meminggirkan teknologi yang bermanfaat seperti ni. Yang penting terpulanglah kepada diri kita sendiri untuk menerima dan mentafsir segala maklumat. Bak kata orang sekarang, "maklumat dihujung jari, dunia dah berubah!"

Secara peribadi, saya tak galaklah anda semua menghabiskan duit poket semata-mata untuk melayari blog ini di cyber cafe. Cuma, jika anda berkesempatan melayari internet dan asyik masuk website yang entah apa-apa, adalah lebih baik mengaktifkan diri anda di sini - aktifkan dirimu (pinjam kata-kata Hotlink, hehe )

Blog sebagai sumber ilmu

Di negara-negara maju, blog selalu dijadikan medium oleh guru-guru di sana untuk menyampaikan sesuatu. Terutama berkaitan ilmu yang bermanfaat kepada pelajarnya.

Di Malaysia pun tak kurang, terutamanya di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur. (Tak ketinggalan Temerloh-Bandar ikan patin, hehe). Dah ramai guru-guru yang menggunakan blog sebagai alat untuk menghubungkan guru dan pelajarnya. Rasanya, tak salah salah saya cuba cara yang sama di sini. Kalau orang lain boleh, kenapa kita tak mencubanya? Orang Temerloh pun boleh jugak, kan? Sapa kata ABS tak boleh?!

Apa pendapat anda? Kongsikan di sini :-)

AWAL BICARA....

Sabtu, April 25, 2009, Posted by mr. admin, 2 Comments


Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Terlebih dahulu saya nak ambil kesempatan ni untuk mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang sudi melawat blog yang tak seberapa ni. Semoga dengan kehadiran anda dapat memeriahkan lagi blog ni.

Sebenarnya, dah lama saya berhasrat untuk membina blog seperti ni. Sejak mula-mula menjejakkan kaki di sini, saya dah terfikir mengenainya. Oleh kerana kesibukan kerja, hasrat tu terpaksa saya pendamkan dahulu. Alhamdulillah, setelah merasakan adanya sedikit luang dan ruang, dapatlah saya membina blog ni. Semoga blog ni akan terus meriah dan berkekalan.

Saya berharap, melalui blog ini kita dapat berkongsi-kongsi pendapat dan idea tentang aktiviti, isu dan berita terkini tentang sekolah kita. Pokoknya, ruang lingkup perbincangan atau isu adalah berkisar tentang pendidikan dan persekitaran di SMK Abu Bakar. Saya kira, di sini bukan tempatnya untuk kita membicarakan tentang politik, isu perkauman dan perkara-perkara boleh menjejaskan keharmonian serta mengguris perasaan orang lain.

Suka saya tegaskan di sini, anda dibenarkan membuat sebarang komen atau pandangan melalui entry (artikel) yang ditulis di dalam blog ini. Namun, sebarang komen yang mempunyai unsur-unsur negatif adalah dilarang sama sekali. Sekiranya saya dapat menjejaki sesiapa yang meninggalkan komen-komen seperti mencarut, memfitnah dan sebagainya, saya tidak teragak-agak memberi dimerit kepada anda! Ini atas arahan Cikgu Mahadi :-)

Akhir kata, marilah kita bersama-sama mengambil peluang dengan kewujudan blog ini untuk kebaikan semua. Sebelum saya mengakhiri bicara ini, mari kita sama- sama renungi kata-kata ini:
"Sekiranya anda tidak mampu membina sebatang jalan, usahlah menabur paku di atas jalan yang telah dibina."
Renung-renungkanlah... :-)